Tuesday, December 2, 2008

Jauh! Shooo! Shoo!

Assalamualaikum semua,

Pagi tadi hantar bihah pergi kelas cuti sekolah naik kereta sambil dengar radio. Perbincangan berkisar Ad-deenun Nasihah. Agama itu nasihat. Islam sebenarnya adalah agama yang berkonsepkan "mencegah lebih baik dari mengubati". Bukankah ini mesej yang sentiasa cuba disampaikan oleh para pengamal perubatan (doktor-doktor) tentang kesihatan kita? Pernah tak kita terfikir kenapa pentingnya mencegah itu?
"Akak dulu masa pantang, berbarut, bertungku dan berurut tak? Berapa lama ye nak buat?" soal anak buah yang baru bersalin.
"Oh, akak dulu tak buat semua tu. Bersalin di negeri orang tiada siapa boleh tolong"
"Bolehlah ye tak buat semua tu?" soal beliau lagi.
"Sebenarnya kalau orang tanya, akak akan cadangkan supaya berpantang sebaik-baiknya. Buatlah apa yang baik. Akak sekarang ni muda lagi tapi selalu sakit-sakit badan. Rasa macam orang tua pula"
Aduh. Itulah kesan yang ditanggung badan dek tidak mencegah. Jelas di sini, apabila sesuatu perkara tidak dicegah, natijah yang terpaksa diterima serta proses mengubati yang perlu dilakukan amat menyeksakan. Oleh itu mengapa kita sanggup mengambil risiko atas perkara-perkara yang telah dinyatakan oleh ajaran Islam melalui Quran dan sunnah dengan nyata? Contohnya, Al-Quran menyebut "Jangan menghampiri zina". Ayat pencegahan kepada satu dosa yang jika dilanggar memberi impak negatif (semua aspek emosi, rohani dan fizikal) kepada penzina, keluarga mereka, bayi yang mungkin terhasil malahan kepada masyarakat. Belum lagi dibincangkan kos kewangan yang perlu ditanggung dalam melaksanakan pembaikan. Seperti seorang pesakit diabetes yang sentiasa perlu membayar kos ubatannya. Alangkah lebih baik jika dulu dia menjaga pengambilan gulanya. Pasti sekarang masih boleh ambil kuih yang manis (dalam kuantiti sederhana ye) dan tidak perlu menelan pil-pil bujur itu. Janganlah kita bersenang-senang dahulu, bersusah-susah kemudian. Bersuka ria di dunia tetapi meraung menyumpah diri sendiri di akhirat.
"Wahai manusia! Sesungguhnya Engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang Engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, (maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan, dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita. Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya, maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya, dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang. Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)! Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan)! (Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa melihat dan mengetahui keadaannya! "
(Insyiqaq : 6-15)

Sama-samalah kita menyampaikan seruan Islam ini supaya pencegahan dapat dilakukan dengan berkesan dan seterusnya menjaga diri kita daripada dimurkai Allah.

No comments: